Kenapa Tarikh Hari Raya Berbeza

Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal atau anak bulan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Othman Mustapha, berkata perkara itu juga bergantung kepada pihak berkuasa agama di negara terbabit sama ada menggunakan kaedah rukyah (cerapan) atau hisab sahaja, atau kedua-duanya.
“Brunei misalnya menentukan awal Syawal berpandukan rukyah semata-mata, katanya dalam satu kenyataan,” di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul isu Sabah dan Sarawak tidak akan menyambut Syawal bersama dengan negeri di Semenanjung.

“Penetapan bermulanya Syawal juga tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia,” katanya.

Othman yang juga pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam berkata, di negara ini penentuan Syawal adalah melalui cawangan Falak dengan menggunakan kaedah rukyah dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukya (kebolehnampakan).

Katanya, dua stesen rujukan yang digunakan ialah di Tanjung Atiam, Sabah serta Tanjung Chincin di Langkawi dan pemilihan kedua-dua stesen itu berdasarkan kesesuaian kedudukan geografi.
“Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat sementara Tanjung Atiam berada pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, JAKIM meminta rakyat di negara ini yang beragama Islam agar mematuhi keputusan pengumuman Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal. – BERNAMA

Tarikh Lihat Anak Bulan Syawal

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini mengumumkan sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos 2011 bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.

Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen. — Bernama

6 Mati Dipanah Petir


Tiga lelaki Indonesia maut manakala tiga rakan senegara mereka yang lain cedera akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Jalan Rektor, Glenmarie, Shah Alam.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat pada pukul 2.30 petang semasa tiga mangsa yang terkorban berada di luar rumah kongsi mereka dan berdiri di dalam lopak air.

Tiga lagi lelaki Indonesia maut disambar petir di sebuah kebun sayur di Sungai Choh, Hulu Selangor pada jam 2.45 petang semalam.