Cuti Umum 11 April 2012 Seluruh Negara

Hari rabu cuti pertabalan agong

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Tuanku Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah pun dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada hari Selasa, 13 Disember 2011 menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang telah tamat tempoh pemerintahan Baginda pada 12 November 2011 yang lalu.

Sehubungan dengan itu Kerajaan, dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan mengadakan dua acara utama sempena Istiadat Pertabalan Baginda.

Pada pagi hari Rabu, 11 April 2012 Istiadat Pertabalan akan diadakan bertempat di Balairong Seri, Istana Negara manakala pada sebelah malamnya Majlis Santapan Diraja akan diadakan bertempat di Istana Negara juga.

Sempena Istiadat Pertabalan ini adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV pada hari Rabu, 11 April 2012 diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am tambahan bagi seluruh negara.

Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369] bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Manakala bagi Sabah dan Sarawak, tindakan akan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang negeri masing-masing.

( TAN SRI SIDEK HASSAN )
Ketua Setiausaha Negara
24 Februari 2012

Denda Dan Penjara Jika Gagal Mempamerkan Sijil Dan Logo Halal Jakim

Mulai 1 Julai ini, pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berdepan hukuman denda dan penjara.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata jabatan itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Kami akan membuat lawatan operasi di setiap premis mulai 31 Mac sebagai langkah pendidikan untuk pastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan tidak hanya mempamerlan logo halal sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata hanya sijil dan logo halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan diiktiraf.

Sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf dan akan dikenakan tindakan. Semua ini termaktub di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011,” katanya.

Hakimah berkata sehingga Februari lalu, sebanyak 1,420 permohonan sijil halal telah diterima.

- Bernama

Keputusan SPM 2011 Keluar 21hb Mac 2012

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2011

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama.

Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri tempat mereka mendaftar dahulu.

Calon-calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPM 2011 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 21 Mac 2012 dan akan ditamatkan pada 12 tengah malam, 27 Mac 2012.

Sekian, terima kasih.

sumber : portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia