Alat-alat Kebesaran Diraja – Pakaian Istiadat Diraja

muskat

Muskat merupakan pakaian rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Pegawai-Pegawai Istiadat Istana Negara. Baju ini berasal dari Negara Muskat iaitu Negara Islam yang berhampiran dengan Negara Iran. Muskat menjadi pakaian rasmi pegawai-pegawai negeri Kedah.

Pakaian rasmi ini mula dipakai pada tahun 1960 iaitu semasa pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketiga yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Baju ini telah diubahsuai daripada pakaian rasmi pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah.

Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam yang dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia. Baju ini labuh hingga ke paras paha dan berlengan panjang. Pada kebiasaannya, baju ini dipakai bersekali dengan seluar panjang bersulam di kaki dan tengkolok dalam majlis-majlis sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, lawatan-lawatan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan Perasmian Penggal Persidangan Parlimen.

tengkolok diraja

Tengkolok Diraja merupakan pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu semenjak beberapa kurun lamanya. Raja-Raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan berbagai bentuk ini sejak pemerintah Kesultanan Melayu. Bentuk ikatan ini disebut juga sebagai solek. Kain ulu yang dikenali sebagai tengkolok berlainan warnanya dari sesebuah negeri. Ikatan tengkolok (solek) ini adalah pelbagai antaranya: ANAK GAJAH MENYUSU, LANG MENYUSUR ANGIN, GARAM SEBUKU (GETAM PEKASAM), PUCUK PISANG PATAH, AYAM PATAH KEPAK DAN DENDAM TAK SUDAH. Tengkolok Diraja yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam dengan benang emas. Soleknya dinamakan “Dendam Tak Sudah” yang berasal dari Negeri Sembilan. Di sebelah hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

Tengkolok DiRaja telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009

pending diraja

Pending Diraja ini diperbuat daripada emas sepuluh mutu bertatah dan bersulamkan sebelas biji permata delima. Di tengah-tengahnya pula tertera lambang Kerajaan Persekutuan. Tali bengkungnya diperbuat daripada kain sakhlat bertekat berbunga-bunga dengan benang emas.

Pending DiRaja telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009

keris pendek diraja

Keris Pendek Diraja adalah diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading yang bertatahkan emas. Hulu keris ini dinamakan “Hulu Pekaka” dan berupa kepala “Garuda”. Di sampir keris ini diterapkan dengan lambang Kerajaan Persekutuan. Keris ini ialah salah satu pakaian Diraja dan seperti Keris Panjang Diraja ia hanya dibawa atau dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Keris Pendek DiRaja telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009

gendik diraja

Gandik Diraja atau pemeles ini ialah merupakan pakaian ulu bagi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Gandik Diraja ini diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian berbunga awan larat. Di tengah-tengahnya, di atas awan larat itu terdapat anak bulan dengan bintang, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih juga. Gandik ini dipakai oleh Seri Paduka Baginda dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Gandik ini diperbuat khas supaya boleh dicerai menjadikan loket dan keronsang.

Gandik DiRaja telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009

kalung diraja

Kalung Diraja ialah rantai leher yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Kalung ini diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan permata berlian. Kalung ini merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dalam istiadat-istiadat kebesaran Diraja dan pada waktu Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kalung ini boleh dicerai menjadikannya sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

Kalung DiRaja telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 16 Mac 2009

sumber : istananegara.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

What is 2 + 11 ?
Please leave these two fields as-is:
IMPORTANT! To be able to proceed, you need to solve the following simple math (so we know that you are a human) :-)