Apa Itu Kanser Prostat

Prostat ialah kelenjar seks bagi lelaki. Bagi lelaki dewasa, kelenjar ini biasanya hampir sama besarnya dengan biji walnut. Kedudukannya di bawah pundi kencing, di pangkal zakar dan di hadapan rektum.

Prostat mengeluarkan sebahagian cecair dalam air mani lelaki. Prostat mempunyai lubang sempit ditengahnya. Tiub (uretra) yang mengeluarkan air kencing dari pundi kencing melalui lubang ini hingga ke hujung zakar

kelenjer seks lelaki

Bagaimanakah saya tahu jika saya ada masalah prostat?

Masalah prostat adalah biasa bagi lelaki apabila umur mereka meningkat (50 tahun ke atas). Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:

  • Sukar untuk mengeluarkan air kencing terutamanya dalam keadaan terkejar- kejar.
  • Sukar untuk menghentikan aliran air kencing.
  • Mengambil masa kerana aliran air kencing lemah atau sering terhenti.
  • Air kencing masih menitis walaupun sudah selesai membuangnya.
  • Sering berasa hendak kencing diwaktu siang .
  • Sering bangun malam untuk kencing.
  • Sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa apabila hendak kencing.
  • Berasa tidak puas kencing.
  • Sakit atau pedih semasa kencing.
  • Kadang-kadang ada darah didalam air kencing. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan doktor.

Jika anda mengalami masalah ini, berjumpalah dengan doktor. Jangan hanya menganggap masalah ini sebagai masalah yang berlaku kerana umur anda meningkat.  Rawatan yang sesuai dapat menyelamatkan anda.

Apakah yang menyebabkan prostat?

Lapan (8) daripada sepuluh (10) kes yang berlaku adalah kerana prostat menjadi bengkak.  Prostat yang bengkak ini menekan uretra. Masalah ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) dan ia disebabkan oleh perubahan hormon di dalam prostat. Masalah ini dialami oleh hampir separuh daripada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dan ia tidak menyebabkan kanser.

Ada kalanya prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan yang dikenali sebagai prostatitis yang mempunyai simptom yang sama dengan BPH. Masalah ini selalunya dialami oleh lelaki yang lebih muda.

Kurang daripada seorang dalam sepuluh lelaki yang mempunyai masalah prostat akan mendapat kanser prostat.

Perlu diingat- kebanyakan masalah prostat bukanlah kanser, dan kebanyakannya boleh dirawat.

Apakah tindakan doktor?

Doktor akan terlebih dahulu mencari punca masalah ini. Beberapa ujian perlu dilakukan termasuk:

Pemeriksaan Rektum
Doktor akan memasukkan jari yang bersarung ke dalam rektum untuk merasai saiz, bentuk dan tekstur prostat anda.

Ujian Prostate specific antigen (PSA)
Ini adalah ujian darah untuk melihat PSA yang dikeluarkan oleh prostat. Jika bacaannya tinggi, anda mungkin mengalami kanser prostat – tetapi doktor perlu melakukan beberapa ujian lain untuk memastikan masalah tersebut.

Biopsi
Jika hasil ujian PSA dan pemeriksaan rektum anda tidak normal, doktor mungkin akan merujukkan anda kepada doktor pakar (pakar urologi). Doktor pakar mungkin akan mencadangkan supaya anda mengambil ujian biopsi.

Dalam ujian ini, pengesan ultrasound diletakkan di bahagian rektum untuk mencari kawasan yang tidak normal pada prostat. Contoh atau sampel daripada prostat (selalunya 6 atau lebih) diambil dan dihantar untuk dilihat dibawah mikroskop.

Prosedur ini selalunya tidak menggunakan bius. Doktor akan memberi keterangan tentang prosedur ini.

Biopsi adalah kaedah utama untuk mengetahui jika anda mangalami kanser prostat. Biopsi akan memberikan petunjuk atau indikasi bagaimana kanser tersebut boleh merebak dan kadar bahaya kanser tersebut (keagresifan). Ini dapat membantu untuk memilih kaedah rawatan

Apakah kaedah rawatan masalah prostat dan kanser prostat?

Kaedah rawatan bergantung pada punca masalah dan tahap bahaya. Doktor akan memberi nasihat apakah tindakan terbaik yang perlu anda ambil . Jika prostat anda bengkak, ini tidak semestinya anda menghidap kanser.

Benign prostatic hyperplasia (BPH)
Masalah ini dapat diatasi dengan ubat atau pembedahan. Ubat dapat menukar tahap hormon, merelakskan atau mengecutkan prostat supaya ia tidak menekan uretra. Anda mungkin perlu mengambil ubat untuk beberapa bulan sebelum simptom masalah tersebut berkurangan. Anda perlu terus mengambil ubat sehingga simptom dapat dikawal dan perlu mendapat pemeriksaan doktor.

Pembedahan mungkin dilakukan untuk membuang sebahagian daripada prostat supaya ia tidak lagi menekan uretra. Rawatan laser atau gelombang mikro juga mungkin digunakan.

Prostatisis
Selalunya prostatisis dirawat dengan antibiotik. Anda perlu mengambil antibiotik selama beberapa bulan. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk menghalang prostat yang bengkak daripada menekan uretra

Kanser prostat
Kadangkala kanser prostat tidak memerlukan rawatan. Doktor akan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku. Rawatan akan dicadangkan apabila sel kanser telah merebak.

Rawatan akan bergantung pada sejauh mana kanser telah merebak, umur dan tahap kesihatan pesakit. Jika sel kanser tidak merebak, pesakit mungkin akan menjalani pembedahan untuk membuang prostat ataupun radioterapi untuk membunuh sel kanser.

Radioterapi boleh diberi melalui mesin (radioterapi sinaran luaran atau external beam radiotherapy ) ataupun melalui pembedahan, apabila sumber radiasi diletakkan di bahagian yang hendak dirawat (brakiterapi).

Jika sel kanser telah merebak, pesakit mungkin menjalani rawatan hormon untuk mematikan sel kanser atupun melemahkan sel tersebut. Sesetengah pesakit menjalani rawatan hormon untuk mengecutkan sel kanser sebelum menjalani rawatan brakiterapi.

Pesakit mungkin memerlukan pendapat kedua sebelum memilih kaedah rawatan yang terbaik.

Pembedahan dan radioterapi untuk kanser prostat mempunyai tiga komplikasi utama.

  1. Pertama, selalunya pesakit tidak lagi mengalami ereksi atau ketegangan zakar (mati pucuk) selepas pembedahan. Ini adalah disebabkan saraf yang menyebabkan ereksi melalui prostat. Dalam beberapa kes, agak sukar untuk mengelakkan daripada merosakkan saraf tersebut kerana kedudukan kanser.
  2. Kedua, selepas pembedahan, sesetengah pesakit mungkin akan kehilangan daya mengawal air kencing kerana otot dikeliling prostat telah rosak.
  3. Ketiga, rawatan radioterapi kadangkala akan menjejaskan usus.. Pesakit mungkin mengalami cirit-birit semasa rawatan atau kerosakan usus yang memerlukan rawatan.

Terdapat bantuan awal untuk mengatasi komplikasi rawatan. Berbincanglah dengan doktor sebelum memilih kaedah rawatan atau sila hubungi KanHelp Line di 03-89472706.

Perlukah saya menjalani pemeriksaan – walaupun saya tidak ada simptom?

Memilih untuk membuat pemeriksaan adalah tindakan bijak. Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perbahasan yang menarik dan kadangkala
kompleks tentang ujian untuk kanser prostat. Ada yang berpendapat bahawa lelaki yang mencapai peringkat umur tertentu perlu menjalani pemeriksaan berkala. Sesetengahnya berpendapat masalah ini adalah pilihan individu.

Ini adalah salinan risalah yang dikeluarkan oleh CaEd Malaysia untuk menjawap soalan umum mengenai masalah prostat. Banyak orang mendapati bahawa pengetahuan tentang penyakit yang dialami dapat membantu mereka. Walau bagaimanapun, maklumat ini bukanlah alternatif untuk tidak mendapat khidmat daripada doktor atau jururawat. Sila gunakan maklumat ini sebagai panduan untuk anda bertanya lebih lanjut tentang masalah ini.

Cancer Resource Centre
Aras G, Bersebelahan Pusat Sumber Diabetes,
Hospital Putrajaya,
Putrajaya,
Malaysia.
+603-8312 4200 ext 1105

Projek Usahasama CaEd, Malaysia dan The Cancer Council Victoria, Australia

Masalah Pesakit Semasa Hemodialisis

KOMPLIKASI SEMASA, SELEPAS HEMODIALISIS

Menurut pakar nefrologi, antara masalah biasa dihadapi pesakit semasa hemodialisis ialah hipotensi, kejang otot, hipoglisemia, demam dan sakit dada.

Hipotensi adalah tekanan darah lebih rendah daripada normal dan merupakan komplikasi paling banyak dilaporkan pesakit semasa dan juga selepas hemodialisis.

Pegawai perubatan nefrologi Dr B.H. Lim berkata bila cecair ditarik dengan banyaknya semasa hemodialisis dan pemenuhan semula vaskular tidak mencukupi , situasi ini akan menyebabkan hipotensi.

Jika ini (hipotensi) berlaku semasa hemodialisis, rawatan segera adalah memberhentikan dialisis dan membaringkan pesakit dalam posisi ‘trendelenburg’ (kepala ke bawah, kaki ke atas).

Ini akan memenuhi pengisian jantung dan meningkatkan tekanan darah dalam masa yang singkat.

Hipotensi daripada hemodialisis ada beberapa sebabnya dan boleh diiringi rasa mual, muntah, pening kepala atau sakit dada.

Jika sesi hemodialisis sampai ke penghujungnya dan tekanan darah pesakit masih rendah, larutan saline perlu diberi bagi meningkatkan tekanan darah.

“Pesakit juga dinasihatkan berehat sebelum pulang ke rumah melainkan beliau ditemani orang lain,” terang Dr Lim.

HIPOGLISEMIA

Hipoglisemia adalah keadaan di mana tahap glukos dalam darah turun di bawah paras normal 3.5 – 6.5 mmol/liter.  Pesakit gagal buah pinggang kronik berhadapan dengan situasi hipoglisemia.

Pesakit diabetik yang dalam terapi insulin atau ubat hipoglisemik mempunyai risiko mengalami hipoglisemia semasa dan selepas hemodialisis .

Pemantauan paras glukos darah dan penyediaan suplemen gula sukros semasa hemodialisis adalah perlu bagi menghalang terjadinya episod hipoglisemia yang mempunyai kesan serius.

Pesakit sebegini juga perlu bersedia dengan makanan sekiranya paras glukos darah mereka menjunam semasa prosedur hemodialisis selama empat jam.

KEJANG, DEMAM

Pesakit mungkin juga mengalami kejang otot yang biasanya melibatkan hipotensi dan agak sukar untuk dirawat.

Bagi pening kepala, rasa mual dan muntah,  mungkin disebabkan peralihan ‘solute’ yang mengakibatkan gejala ini semasa hemodialisis.

“Dalam kebanyakan pesakit hemodialisis, kejang berlaku pada peringkat akhir sesi dialisis setelah banyak cecair dikeluarkan melalui proses ultrafiltrasi,” katanya sambil menambah rawatan segera adalah dengan memberi larutan saline isotonik.

Jika pesaki mengadu demam, evaluasi serius perlu dilakukan dengan mengambil kultur darah. Gejala demam dan suhu badan perlu juga dipantau semasa bermula dan berakhirnya sesi rawatan.

SAKIT DADA

Kata pakar-pakar nefrologi, sakit dada mungkin juga berlaku semasa dialisis kerana ia mungkin disebabkan hipotensi dan sindrom tidak seimbang.

Angina perlu juga diambil kira sebagai faktor menyebabkan sakit dada pada pesakit semasa dialisis kerana terdapat peningkatan kes penyakit koronari.

(Angina adalah sakit atau tidak keselesaan dada bila jantung kekurangan oksigen. Biasanya angina adalah rasa mencengkam di dada dan kemudian menular ke bahagian dagu, bahu, lengan atau belakang. Ia simptom sakit jantung seperti simptom penyakit arteri koronari).

Menurut Dr Lim, angina ketika hemodialisis boleh dihalang dengan pemberian ubat ‘nitrate’ dan ‘beta blocker’ sebelum mula rawatan.

Oleh Zulkiple Ibrahim BERNAMA

Apa Itu Skim 1Care for Malaysia

Difahamkan skim “1 Care” dimodelkan selepas Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS), satu sistem pembiayaan penjagaan kesihatan dan telah ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-10 untuk Pelan Strategik Kementerian Kesihatan 2011 – 2015.

Skim 1 Care mempunyai lima fasa dan kini sudah memasuki fasa ketiga dan inisiatif penuh, perbincangan dengan doktor dan farmasi seluruh negara, akan dibentangkan kepada Kabinet pada Mac

Timbalan Pengarah Unit Pembiayaan Kesihatan Nasional (NHF) Kementerian Kesihatan, Dr Rozita Halina Hussein bahawa rakyat diwajibkan menyertai skim itu.

Skim itu membabitkan penggabungan sistem pengurusan kesihatan kerajaan dengan swasta yang mewajibkan rakyat memilih atau melantik pengamal perubatan di klinik pilihan sebagai doktor keluarga.

Manakala pesakit pula hanya akan dirujuk ke hospital kerajaan apabila mendapat sokongan doktor masing-masing.

Sebuah dana khas dicadangkan untuk membiayai kos penjagaan kesihatan di mana mereka yang berkemampuan menyumbang kepada dana itu melalui bayaran bulanan berupa premium insuran, potongan cukai atau kaedah lain yang akan ditetapkan kemudian.

DIkatakan 90 peratus daripada dana kesihatan itu dibiayai kerajaan, manakala 10 peratus lagi disumbangkan mereka yang berkemampuan melibatkan majikan dan pekerja dalam peratusan yang akan ditentukan kelak.

Pengamal perubatan awam dan swasta tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mendakwa individu dan golongan peniaga akan dipaksa membayar 10 peratus daripada pendapatan kepada skim berkenaan.

Berdasarkan cadangan itu juga, setiap orang akan hanya diberikan satu doktor di kawasan mereka dan tidak dibenarkan untuk memilih. Individu juga turut akan dihadkan jumlah untuk rawatan dalam sebulan.

Pengarah Kesihatan berkata Malaysia mempunyai 600 klinik swasta, dan 813 klinik kerajaan, dengan 60 peratus pesakit memilih perkhidmatan klinik kerajaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cadangan berkenaan kumpulan perniagaan akan dikenakan levi 10 peratus daripada pendapatan mereka untuk dana insuran penjagaan kesihatan 1 Care akan di semak semula.

sumber : http://www.themalaysianinsider.com