
Siput gonggong (Laevistrombus Canarium) adalah sejenis siput laut yang mempunyai cengkerang berwarna coklat keputihan. Ia antara makanan laut lazat pilihan bagi mereka yang berkunjung ke Kota Kinabalu.
Isinya boleh digoreng bersama sayuran, boleh dibuat sup, dimasak bersama pelbagai jenis mi dan dimasak kari. Cara paling digemari adalah dengan merebus atau dikukus kemudian isinya dicicah kicap berlada
Untuk mengeluarkan isi dari cengkerannya, guna pencungkil . Cucuk pada kawasan bukaan siput di sebelah tepi, kemudian kuis keluar isinya perlahan-lahan.
Isi siput yang berwarna coklat-oren keputihan itu kaya dengan protein serta mempunyai tekstur yang kenyal seperti sotong dan rasa lemak seperti kacang soya.
Siput gonggong betina selalunya lebih besar daripada jantan bagaimanapun saiz siput itu juga bergantung kepada kawasan habitatnya.
Siput gonggong hidup di kawasan berpasir dalam dasar laut dan kawasan yang hampir dengan pantai seperti Semenanjung dan pulau besar seperti Borneo ini, tetapi ia tidak suka kawasan pulau kecil
Membiak antara bulan November dan awal Mac, siput gonggong betina akan ‘melahirkan’ pundi telur berbentuk silinder yang mengandungi kira-kira 50,000 biji telur dan pundi itu akan melekat pada tumbuhan dasar laut sehingga telur menetas.
sumber : bernama